BORA (Borneo Rhino Alliance)

Borneo Rhino Alliance atau singkatannya BORA adalah merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang berpangkalan di Negeri Sabah. Dahulunya BORA yang dikenali sebagai SOS Rhino dan kemudiannya SOS Rhino Borneo, berperanan menjalankan usaha-usaha pemantauan dan pengawasan terhadap populasi badak Sumatra yang semakin kritikal di Rizab Hidupan Liar Tabin.

Sejak tahun 2000 melalui SOS Rhino yang juga merupakan pertubuhan NGO berpangkalan di Amerika Syarikat, telah secara aktif  membantu Jabatan Hidupan Liar menjalankan usaha-usaha perlindungan terhadap Badak Sumatra di Tabin. Kemudiannya SOS Rhino didaftarkan di Negeri Sabah dengan nama SOS Rhino Borneo (SOSRB) sebagai sebuah pertubuhan NGO yang berperanan menjalankan usaha-usaha perlindungan badak-badak di Rizab Tabin melalui  aktiviti rondaan sempadan, pemantauan dan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat di sekeliling Rizab Tabin.

Selepas beberapa tahun menlaksanakan aktiviti-aktiviti ini, SOSRB telah mempunyai maklumat asas mengenai ancaman dan taburan Badak Sumatra di Rizab Tabin. Sejak Januari 2009, SOSRB telah digantikan dengan BORA yang lebih berperanan membantu jabatan mengendalikan pengurusan harian Borneo Rhino Sanctuary (BRS) di Rizab Hidupan Liar Tabin. Kerjasama di antara jabatan dan BORA  dalam mengendalikan BRS membolehkan kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan NGOs lain berkongsi tanggungjawab untuk menyelamatkan spesis Badak Sumatra ini daripada terus pupus.