Gua Gomantong

Latarbelakang

Gua Gomantong ini terletak di dalam Hutan Simpan Gomantong Kelas VI (Hutan Dara) dengan keluasan 3,297 hektar, dalam Daerah Kinabatangan. Ianya merupakan satu singkapan batu kapur yang membentuk bukit batu kapur yang terbesar di daerah ini. Di dalam bukit batu kapur ini terdapat sekurang-kurang 19 buah gua yang sejak berkurun lamanya telah menghasilkan sarang burung layang-layang. Gua Gomantong adalah merupakan salah satu daripada gua-gua yang tersenarai dalam Bahagian II Jadual 4 iaitu gua milik kerajaan seperti yang dinyatakan dalam seksyen 85(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL97).  Gua Gomantong adalah merupakan satu contoh kejayaan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Jabatan Hidupan Liar memastikan pemuliharaan Insitu dua spesis burung layang-layang iaitu Aerodramus fuciphagus dan Aeordramus maximus. Pengurusan penuaian sarang burung yang sistematik memastikan kedua-dua populasi spesis burung layang-layang ini akan terus kekal.

Sarang Burung Layang-Layang Gua Gomantong

Sarang burung yang dihasil di gua ini adalah merupakan yang terbaik di dunia. Terdapat dua jenis sarang burung yang dihasilkan di Gua Gomantong iaitu Sarang jenis hitam dan Sarang jenis putih. Menuai dan memungut sarang burung dilakukan dua kali dalam setahun dan ini dikawal selia oleh Jabatan Hidupan Liar seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 85(6) EPHL97. Penuaian sarang putih dilakukan pada bulan Febuari dan Ogos manakala sarang hitam  dituai pada bulan April dan Ogos. Kerja-kerja penuaian sarang burung di Gua Gomantong adalah dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan menerusi sistem tender, berbeza dengan gua Madai yang mana penuaiannya dilakukan oleh para pewaris gua tersebut. Sarang hitam dan putih dihasilkan di 15 buah gua manakala selebihnya iaitu 4 buah gua hanya menghasilkan sarang jenis hitam sahaja. Harga pasaran bagi sekilogram sarang putih boleh mencecah sehingga RM7000 manakala bagi sarang hitam pula antara RM3,000 – RM4000 sekilogram.

Fakta Pembiakan Burung Layang-Layang

Spesis burung layang-layang yang menghasilkan sarang hitam mempunyai tempoh pembiakan yang lebih perlahan berbanding dengan spesis burung laying-layang yang menghasilkan sarang jenis putih. Bagi burung layang-layang menghasilkan sarang puith tempoh pengeraman telor adalah selama 23 hari dan apabila menetas anak burung memrlukan tempoh 6 minggu untuk terbang meinggalkan sarang induknya. Manakala bagi burung layang-layang menghasilkan sarang hitam, tempoh pengeraman adalah selam 28 hari dan apabila menentas anak burung ini memerlukan tempoh 8 minggu untuk terbang meninggalkan arang induknya. Oleh yang demikian, penuaian sarang burung bagi kedua-dua jenis sarang hanya boleh dituai selepas 3½ - 4 bulan selepas burung-burung ini bertelur.

Perkara-Perkara Menarik Di Gua Gomantong

  • Aktiviti penuaian sarang burung juga merupakan suatu pemandangan yang sangat unik dan mengkagumkan semasa musim penuaian. Para pekerja yang menuai sarang burung ini menggunakan peralatan tradisional seperti Piatau, gegulug, sesungkit dan ambong dalam melaksanakan kerja-kerja penuaian sarang burung ini. Kesemua peralatan ini dibuat daripada rotan dan bambu. Keupayaan pekerja-pekerja ini menaiki gegulug dan berada di atas piatau yang terapung-apung di langit gua  memberikan suatu pemandangan yang luarbiasa kepada para pelawat.
  • Pertukaran “syif” di antara burung layang-layang dan kelawar dapat disaksikan pada setiap petang di antara jam 5.15 – 6.15 petang. Pada masa ini pelawat dapat menyaksikan kumpulan kelawar yang dianggarkan sebanyak 2 juta ekor terbang keluar daripada gua manakala burung layang-layang terbang memasuki gua. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas di kawasan mulut gua Simud putih.
  • Kehadiran hidupan liar lain seperti Orang utan, Lotong merah, Burung Enggang, Beruk dan Kera di kawasan persekitaran gua juga merupakan suatu perkara yang tidak asing.
  • Para pengemar burung juga boleh menjalankan pemerhatian burung di kawasan trail yang telah disediakan.

Kemudahan Prasarana

Gua Gomantong kini boleh dihubungi melalui jalanraya berturap sejauh 35 km dari Pekan Kota Kinabatangan dan 110km dari Bandar Sandakan. Tiada perkhidmatan pengangkutan awam tetapi pelawat boleh menyewa kenderaan dari Bandar Sandakan. Terdapat sebuah bangunan Pusat Pelawat di Gua Gomantong yang dilengkapi dengan bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik Pameran, Surau dan katin. Terdapat juga bangunan tandas awam dan “Board walk” di bahagian luar dan dalam gua Simud Hitam.

Fee Masuk

ada masa ini fee masuk yang dikenakan oleh Jabatan Hidupan Liar adalah sebanyak RM5 bagi pelawat tempatan dewasa dan RM2 Murid-Murid sekolah. Manakala bagi pelawat luar negara fee masuk adalah sebanyak RM30. Para pelawat yang membayar fee ini hanya dibenarkan memasuki ke Gua Gomantong terhad di kawasan-kawasan yang dikhaskan sahaja. Mana-mana pelawat atau penyelidik yang ingin memasuki kawasan lain di Hutan Simpan Gomantong ini perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan.