HUTAN

HUTAN – merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Negara Perancis, telah memulakan usaha-usaha untuk membangun dan melaksanakan suatu pendekatan inovatif dalam memulihara orang-utan di Sabah, Malaysia sejak tahun  tahun 1998 lagi. HUTAN memulakan Projek Pemuliharan Orang-utan di Kinabatangan (KOCP) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan telah menubuhkan sebuah Pusat Konservasi kecil di kampung Sukau yang terletak dalam kawasan dataran banjir Kinabatangan, yang kini lebih dikenali sebagai Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

Jabatan Hidupan Liar mendapati pendekatan holistic atau ‘menyeluruh’ yang dibangunkan dan dilaksanakan oleh HUTAN telah menjadikan hasil kajian saintifik sebagai asas untuk mengurangkan permasalahan atau konflik di antara hidupan liar dan manusia (HWC). Disamping menawarkan peluang kerjaya di bawah projek KOCP, HUTAN juga berjaya memberikan kesedaran awam terhadap kepentingan  pemuliharaan hidupan liar secara umum dan orang utan secara khususnya disamping membantu komuniti setempat dalam projek-projek pembangunan ekonomi yang selari dengan pemuliharaan sumber-sumber semulajadi.

Perkongsian pintar ini telah memberi impak yang positif dalam usaha kerajaan memulihara populasi orang utan khususnya di kawasan Hilir Kinabatangan dan negeri Sabah amnya. Antara pencapaian kerja-kerja kolaborasi jabatan dan HUTAN termasuklah kajian inventori menganggarkan populasi Orang utan di seluruh negeri Sabah pada tahun 2008 dengan menggunakan kaedah “nest counting”, percubaan penggunaan “aerial-bridge” oleh orang utan,  kajian parasit, kajian permakanan dan lakuan permakanan, hubungan social dan kawasan keliaran orang utan. Hasil daripada kajian-kajian ini telah dapat membantu jabatan merangka strategi-strategi pemuliharan dan pelan-pelan tindakan bagi orang utan  yang telah dibentang dan dibincangkan dalam Orang utan Colloquium  2009 dan  “Species Action Plan Workshop” 2010.

Perkongsian pintar ini tidak hanya memberikan faedah kepada Jabatan dan HUTAN sahaja sebaliknya menerusi aktiviti pemantauan orang utan, ini telah memberikan suatu peluang kepada sebuah syarikat iaitu Red Ape Encounter yang dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh masyarakat setempat di Sukau untuk memiliki suatu pakeg pelancongan unik dan ekskulisif yang telah membawa pulangan ekonomi menerusi aktiviti pelancongan.