Pusat Konservasi Hilir Segama

Latarbelakang

Kawasan Konservasi Hilir Segama (KKHS) adalah merupakan kawasan “terrestrial” pertama yang akan diwartakan sebagai kawasan Konservasi di bawah Seksyen 21 Enakamen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. Kawasan Hilir Segama ini telah mula dikenalpasti sebagai antara beberapa buah kawasan di negeri Sabah yang berpotensi untuk di dijadikan sebagai kawasan perlindungan di bawah projek Konservasi Kepelbagaian Biologi Sabah (Sabah Biodiversity Conservation Project).  Kedudukan lokasi kawasan ini  amat strategik kerana boleh membentuk koridor  keliaran hidupan liar di antara dua Rizab Hidupan Liar iaitu Kulamba di sebelah utaranya dan Tabin di bahagian selatan. Kawasan Konservasi Hilir Segama ini mempunyai keluasan 2,163 hektar dan kawasan rizab sungai berkeluasan 226 hektar. Ini menjadikan keseluruhan keluasan Kawasan Konservasi Hilir Segama ini seluas 2,389 hektar. Sebuah kompleks Pusat Pentadbiran telah didirikan di kawasan ini pada tahun 2010 untuk memantau dan menjaga kawasan ini. Pusat ini juga dijangka menjadai tumpuan kepada para penyelidik yang berminat untuk mengkaji ekologi hidupan yang terdapat di kawasan ini.

Sosio Ekonomik

Kawasan ini merupakan punca rezeki bagi masyarakat di tiga buah kampung iaitu Kg. Tidong Lama, Kg. Tidong Baru dan Kg. Dagat yang kesemuanya terletak berdekatan dengan kawasan konservasi ini. Masyarakat di ketiga-tiga buah kampung ini mejoritinya adalah dari suku kaum Tidong yang menjadikan aktiviti nelayan sebagai punca pendapatan khususnya semasa musim udang.

Tarikan Pelancongan

Aktiviti pelancongan masih lagi diperingkat awal yang mana kehadiran pelancong lebih tertumpu kepada Eko-pelancongan yang berasaskan komuniti. Tarikan utama ke kawasan ini ialah kekayaan hidupan liarnya yang menyamai peluang untuk melihat hidupan liar seperti di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan. Spesis monyet Belanda (Nasalis larvatus)adalah merupakan spesis yang pasti dapat di lihat pada waktu petang dipinggir sungai dan adakalanya gajah juga dapat dilihat dikawasan ini.   Selain daripada itu, cara hidup masyarakat kaum Tidung di kawasan ini yang  mesra dengan alam semulajadi juga suatu tarikan dan pengalaman baru kepada pengunjung  Homestay di Kampung Dagat.

Kemudahan Prasarana

Kawasan ini boleh dihubungi dengan jalan darat dan juga jalan laut/sungai. Jarak perjalanan dari Bandar Lahad Datu akan mengambil masa lebih kurang 3 jam manakala jalan laut pula mengambil masa yang lebih lama iaitu 8 jam dari Bandar Sandakan. Kawasan ini tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam. Kesemua pengunjung akan menyewa kenderaan dari Bandar Sandakan atau Bandar Lahad Datu. Kompleks Pusat Pentadbiran merangkumi sebuah bangunan pejabat, Rumah kakitangan, Makmal, asrama dan sebuah  “Board walk” sepanjang 600 meter.

Fee Masuk

Tiada fee masuk yang dikenakan kepada pelawat ke kawasan Konservasi Hidupan Liar Hilir Segama ini. Walaubagaimanapun  kebenaran perlu diperolehi dari Jabatan Hidupan Liar bagi menggunakan kemudahaan-kemudahan yang terdapat di Kompleks Pusat Pentadbiran Hilir Segama ini.