Reef Guardian

Reef Guardian Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hidupan Liar pada tahun 2003 untuk mengurus sebuah kawasan konservasi Marin di kepulauan Sugud atau Sugud Islands Marine Conservation Area (SIMCA). Kawasan Konservasi kepulauan Sugud ini secara rasminya telah diwartakan pada 2001 dengan keluasan lebih kurang 46,317 hektar yang merangkumi  tiga buah pulau iaitu Langkayan , Billean dan Tegapil. Pengujudan kawasan konservasi ini adalah di bawah seksyen 21Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. 

Mekanisma perkongsian ini memberikan faedah kepada  Jabatan Hidupan Liar dan juga Reef Guardian Sdn. Bhd. yang mana menerusi program-progran konservasi yang telah digariskan bersama mempertanggungjawabkan Reef Guardian Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti-aktiviti Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan di SIMCA, Konservasi Marin, Alam Sekitar, Pendidikan dan kesedaran awam dan Eko-selam dan eko-pelancongan. Sebagai pulangan kepada Reef Guardian Sdn. Bhd., perkongsian ini yang membenarkan Reef Guardian Sdn. Bhd. atau syarikat lain dengan persetujuannya boleh mengusahakan resort di kawasan SIMCA ini dengan pengesahan pihak Jabatan Hidupan Liar.

Melalui program-program konservasi ini juga Reef Guardian Sdn. Bhd. adalah bertanggungjawab mempastikan Pengusaha Resort (Langkayan Island Dive Resort) menjaga persekitaran dengan memantau penunjuk-penunjuk kualiti daratan dan juga marin. Ini termasuklah mempastikan pembangunan di pulau-pulau Langkaian, Billean dan Tegapil mematuhi piawaian alam sekitar dan tidak mendatangkan sebarang impak yang menyebabkan kemusnahan kepada habitat marin.

Usaha kolaborasi pintar ini telahpun menunjukkan pencapaian yang baik dengan berkurangnya kes-kes pencerobohan ke kawasan konservasi oleh nelayan di kawasan “no-take zone” dan rekod pemantauan jangka panjang konservsai marin menunjukkan pertambahan dari segi bilangan dan kepelbagaian jenis ikan, litupan pelbagai batu karang, pendaratan penyu dan sarang telur penyu berlaku dari masa kesemasa.