Sindiket penyeludupan tenggiling tumpas babit rampasan hampir RM8.4 juta

TUARAN: Polis dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menumpaskan sindiket penyeludupan tenggiling membabitkan rampasan bernilai hampir RM8.4 juta dalam dua serbuan di daerah ini dan Sepanggar, kelmarin.

Kegiatan sindiket penyeludupan dan pemprosesan daging serta kulit tenggiling itu berselindung masing-masing di sebuah kilang dan gudang di dua kawasan terbabit, dipercayai sejak tujuh tahun lalu.

Hasil serbuan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, bersama JHL Sabah menemui puluhan ekor tenggiling hidup, ratusan ekor tenggiling beku, sisik tenggiling dan ribuan kotak dipercayai berisi daging haiwan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata serbuan dilakukan di sebuah kilang di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu, pada jam 8.46 malam selepas memperoleh maklumat kegiatan penyeludupan dan pemprosesan daging serta kulit tenggiling secara haram.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun di dalam kilang itu ditahan dan pemeriksaan menemui daging haiwan yang siap diproses dan dibeku dipercayai daging tenggiling di dalam enam peti sejuk beku.

“Beberapa ekor tenggiling hidup turut ditemui di dalam sangkar, selain 10 guni berisi kulit tenggiling.

“Seterusnya, pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Persona turut menemui 35 ekor tenggiling hidup di but belakang, dua guni plastik berisi sisik tenggiling dan alat penimbang digital,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga, dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Susulan itu, Omar berkata, hasil maklumat dan soal siasat, satu lagi serbuan dengan dipandu arah oleh suspek dilakukan pada jam 10.20 malam hari sama di gudang penyimpanan di Kampung Bontoi, Jalan Tamparuli.

“Hasil serbuan itu menemui tiga kontena yang didapati penuh dengan kotak berisi daging tenggiling.

“Semua rampasan membabitkan 61 ekor tenggiling hidup dan sisik tenggiling seberat 361 kilogram (kg).

“Selain itu, 1,860 kotak berisi daging tenggiling beku di mana berat setiap kotak ialah 15kg dengan setiap kilogram bernilai RM300. Turut ditemui, dua kaki beruang dan empat bangkai beku disyaki keluang bakau.

“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Tuaran untuk tindakan lanjut JHL Sabah. Jumlah rampasan dianggarkan bernilai hampir RM8.4 juta dan ia adalah kejayaan terbesar, setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek yang ditahan adalah pengurus kilang dipercayai mula beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

“Semua tenggiling ini dibeli oleh suspek daripada pemburu haram tempatan dan dipercayai semua haiwan itu ditangkap di seluruh Sabah sebelum dikumpul serta dihantar ke kilang untuk diproses dan dibungkus di dalam kotak.

“Siasatan juga mendapati semua tenggiling ini adalah untuk pasaran tempatan, Sarawak dan tidak menolak kemungkinan dieksport ke luar negara.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan individu terbabit dalam sindiket itu, termasuk pemburu haram. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Dalam pada itu, Augustine berkata, pihaknya belum membuat kaji selidik secara menyeluruh mengenai populasi tenggiling di semua daerah negeri ini.

“Setakat ini, kita hanya menjalankan kaji selidik atau kajian di daerah Kinabatangan memandangkan kadar populasinya rendah dan hanya kawasan tertentu menjadi lokasi pemburu haram.

“Pada masa sama, kita sudah memindahkan enakmen hidupan liar daripada Jadual 2 ke Jadual 1 pada 2016. Seperti kes ini, ia bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar,” katanya.

 

Oleh Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi

bhnews@bh.com.my

News Date: 
11 February 2019